29 amah tak penuhi syarat pindaan MoU - Labour Law Blog

Latest

Jun 28, 2012

29 amah tak penuhi syarat pindaan MoU

SEPANG: Kedutaan Indonesia di Malaysia mengesahkan 29 pembantu rumah dari republik itu dibawa masuk ke sini secara sah pada 30 Mei lalu, tetapi tidak memenuhi syarat pindaan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) terbaru.

Wakil Bahagian Sumber Manusia Kedutaan Indonesia di Malaysia, Agus Triyanto, berkata pembantu rumah berkenaan tetap perlu memenuhi beberapa syarat MoU yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia itu.

Justeru, katanya, agensi menguruskan kemasukan mereka diminta berurusan dengan Kedutaan Indonesia di sini bagi memenuhi syarat yang belum dipatuhi itu.

“Agensi berkenaan diberi masa dua minggu dari tarikh dimaklumkan untuk melengkapkan dokumen berkaitan. Tindakan boleh diambil jika gagal berbuat demikian. Antara perkara penting wajib dipatuhi ialah pindaan berkaitan proses membawa masuk Pekerja Domestik Indonesia (PDI).

“Ia termasuk kemasukan PDI perlu dimaklumkan kepada Kedutaan Indonesia di sini. Tawaran pekerjaan PDI dan jadual penyata gaji juga perlu mendapat pengesahan kedutaan. PDI juga harus ada sijil kemahiran disahkan Badan Nasional Sertifikasi Indonesia (BNSP) dan permohonan majikan diperakui Jabatan Tenaga Kerja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia yang tiba di Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, semalam.

Mereka kumpulan pertama yang akan mula bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia selepas pindaan MoU antara kedua-dua negara dimeterai. Hanya pembantu rumah memiliki sijil kemahiran daripada BNSP dibenarkan bekerja di negara ini.

Difahamkan, setakat ini Kedutaan Indonesia meluluskan kira-kira 11,650 permohonan rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia dan mereka dijangka tiba dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan di sini.

Agus berkata, Indonesia giat melatih rakyatnya bagi memastikan mereka memenuhi kriteria ditetapkan dalam pindaan MoU PDI dan masa agak lama diambil untuk menghantar pembantu rumah ke Malaysia kerana setiap permohonan perlu diteliti selain pembantu rumah perlu dilatih secukupnya bagi memastikan mereka sedia bekerja di sini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata persatuan itu menjangka permintaan bagi pembantu rumah dari rakyat negara ini akan bertambah menjelang Ramadan dan selepas Aidilfitri ini. - Berita Harian 26/06/2012

No comments:

Post a Comment

Post Bottom Ad


http://www.labourlawbox.com/