Apr 18, 2017

Gajet berinternet jejaskan masa berkualiti pekerja

Gajet berinternet jejaskan masa berkualiti pekerja


PERKEMBANGAN teknologi maklumat masa kini sememangnya membawa banyak kebaikan dalam kehidupan seharian pekerja.

Malah, banyak tugasan dapat dilakukan dengan mudah. Bagaimanapun, terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap perkembangan ini.

Kemajuan teknologi informasi itu didakwa telah menyebabkan pekerja membawa pulang kerja pejabat ke rumah dan masa berkualiti bersama ahli keluarga terjejas.

Keadaan ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat dan boleh mengganggu keharmonian rumah tangga serta pembesaran anak-anak.

Kajian mendedahkan, kira-kira 63 peratus daripada pekerja Malaysia kurang menghabiskan masa bersama keluarga kerana waktu kerja yang panjang. Pandangan ini turut disokong oleh dapatan kajian yang dijalankan oleh Jobstreet.com.

Keseimbangan

Dengan penyertaan 954 pekerja daripada pelbagai industri di Malaysia, hampir 70 peratus pekerja pada zaman digital ini menghabiskan masa antara dua hingga lima jam bekerja setiap hari di rumah.

Perkara ini perlu dielakkan kerana ia mengganggu keseimbangan kerja dan kehidupan.

Bagi mengurus perkembangan teknologi informasi dalam organisasi, mereka perlu meningkatkan strategi keseimbangan kerja dan kualiti kehidupan para pekerja.

Langkah ini merupakan salah satu cara paling mudah dan jimat untuk memastikan mereka yang terlibat bermotivasi dalam urusan seharian.

Jika tiada usaha dilakukan, pekerja akan keletihan dan ketidakhadiran boleh mengurangkan produktiviti serta prestasi mereka dalam syarikat.

Masalah utama pekerja membawa pulang bebanan kerja ke rumah disebabkan tarikh akhir yang tidak munasabah dan bebanan kerja.

Penggunaan berterusan aplikasi WhatsApp, tekanan yang lebih besar pada pekerja untuk menyelesaikan tugas mereka dan masa bersama keluarga semakin sedikit.

Kebanyakan para pekerja pada zaman teknologi digital memilih untuk berada lebih lama di pejabat bagi menyelesaikan kerja mereka dengan majoriti menyatakan mereka tidak dibayar untuk masa tambahan tersebut. Majikan mereka tidak menjalankan sebarang inisiatif untuk menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan.

Arahan

Kaji selidik itu mendedahkan, 54 peratus daripada responden gagal mengoptimumkan cuti tahunan mereka dan hampir semua responden menjawab bahawa mereka masih mendapat teks kecemasan daripada ketua melalui aplikasi seperti WhatsApp sewaktu bercuti mahupun cuti sakit.

Kemajuan teknologi komunikasi pada hari ini telah mengikis sifat kemanusiaan dan menukar cara seseorang berhubung dengan rakan atau ahli dalam organisasi mereka daripada bersemuka kepada memberi arahan melalui penggunaan teks melalui skrin.

Masa yang banyak dihabiskan di skrin menyebabkan rakyat Malaysia semakin kurang melakukan aktiviti bersama-ahli keluarga seperti memberi tumpuan kepada anak-anak yang sedang membesar.

Permintaan yang tinggi terhadap media baharu dan gajet berinternet menyebabkan para pekerja menerima arahan majikan 24 jam seminggu atau 24/7 tanpa memikirkan waktu privasi seseorang pekerja. Dengan jumlah masa yang banyak digunakan untuk media berskrin, maka ia juga menyebabkan masa yang berkualiti untuk bersama-keluarga dan rakan-rakan semakin berkurang, sekali gus mengganggu perkembangan sosial sesebuah masyarakat. Jika diperhatikan, ramai dalam kalangan eksekutif muda khusyuk dengan telefon pintar walaupun ketika waktu makan bersama keluarga.

Keadaan semakin buruk jika mereka menggunakan internet di dalam bilik tidur.

Kita tentunya tidak mahu melihat keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat terjadi akibat bebanan kerja yang melampau akibat perkembangan teknologi komunikasi ini.

Original source: KOSMO

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Popular Posts